KITAB FARHATUSSALIK : BAB TAHARAH - SEBAB HADAS JANABAH


 



KITAB FARHATUSSALIK

Syarah Beberapa Hadith Dari Kitab Muwattha’ Imam Malik

BAB TAHARAH

SEBAB HADAS JANABAH

Berkata Imam Malik r.a. :

Diriwayatkan daripada Said bin Al-Musayyab :

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، وَعُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ، وَعَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانُوا يَقُولُونَ: إِذَا مَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Artinya : “Bahawasanya Umar bin Al-Khattab r.a. dan Uthman bin ‘Affan r.a. dan Aisyah r.a isteri Nabi sollallahu alaihi wasallam adalah merkea itu berkata : Apabila menyentuh oleh tempat khitan akan tempat khitan maka sungguhnya telah wajib oleh mandi hadas.”

Hadith ini ada dikeluarkan juga oleh Ahmad dan Al-Baihaqi dan lainnya.

Dan diriwayatkan daripada Abi Salamah bin Abdurrahman r.a. bahawasanya beliau berkata : Berkata Aisyah r.a. :

إِذَا جَاوَزَ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Artinya : “Apabila melepasi oleh tempat khitan akan tempat khitan maka sungguhnya telah wajiblah mandi hadas.”

Hadith dan atsar ini ada dikeluarkan juga oleh Ahmad dan Ibnu Hibban dan At-Thahawi dan Ibnu Abi Syaibah.

 Dan diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. adalah beliau berkata :

إِذَا جَاوَزَ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Artinya : “Apabila telah melepasi oleh tempat khitan akan tempat khitan maka sungguhnya telah wajiblah mandi hadas.”

Dan diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. beliau berkata bagi Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :

الْمَرْأَةُ تَرَى فِي الْمَنَامِ مِثْلَ مَا يَرَى الرَّجُلُ، أَتَغْتَسِلُ؟ فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَعَمْ فَلْتَغْتَسِلْ ، فَقَالَتْ لَهَا عَائِشَةُ: أُفٍّ لَكِ ‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍ وَهَلْ تَرَى ذَلِكَ الْمَرْأَةُ؟ فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَرِبَتْ يَمِينُكِ وَمِنْ أَيْنَ يَكُونُ الشَّبَهُ؟

Artinya : “Seorang perempuan telah melihat di dalam mimpi akan seumpama barang yang dilihat oleh lelaki adakah perempuan itu kena mandi? Maka berkata baginya oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : Ya dia kena mandi. Berkata bagi Ummu Salamah oleh Aisyah r.a. : Apalah kamu ini adakah perempuan juga melihat air mani? Maka bersabda baginya oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : Semoga kamu selalu beruntung maka bagaimana boleh terjadi mirip (anak dengan ibunya)?

Hadith yang semakna dengannya ada dikeluarkan oleh Muslim dan Abu Daud dan lainnya.

Dan diriwayatkan daripada Ummu Salah r.a. sungguhnya beliau berkata :

جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ، امْرَأَةُ أَبِي طَلْحَةَ الْأَنْصَارِيِّ، إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ‍ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ، هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا هِيَ احْتَلَمَتْ، فَقَالَ: نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ

Artinya : “Telah datang Ummu Sulaim isteri Abi Talhah Al-Ansari r.a. kepada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam lalu berkata : Wahai Rasulullah sungguhnya Allah itu tidak malu daripada (menyatakan) kebenaran. Adakah wajib atas orang perempuan itu mandi hadas apabila dia bermimpi? Maka sabdanya : Ya jika dia melihat akan mani.”

Hadith ini ada dikeluarkan juga oleh As-Syafie dan Al-Baihaqi dan lainnya.

KETERANGAN

Hadith-hadith ini datang pada menerangkan hukum janabah dan mandi hadas.

Ketahuilah bahawa hadas janabah itu termasuk dalam hadas-hadas besar yang mewajibkan mandi.

Firman Allah Taala :

وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Artinya : “Dan jika kamu sekelian junub yakni berhadas dengan hadas janabah maka hendaklah kamu sekelian mandi.” (Al-Maidah : 6)

Dan yang dikatakan janabah itu ialah sebab dua perkara yaitu sebab jimak atau sebab keluar mani.

Maka barangsiapa yang berlaku padanya jimak yakni bersetubuh atau keluar mani atau keduanya sekali maka dikatakan orang itu telah berhadas dengan hadas janabah.

Berkata Imam Nawawi :

الْجَنَابَةُ وَهِيَ بِأَمْرَيْنِ الْجِمَاعُ وَالْإِنْزَالُ

Artinya : “Bermula arti janabah itu ialah dua perkara yaitu jimak dan keluar mani.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

BERSETUBUH

Imam Malik meriwayatkan daripada Ibnu Al-Musayyab :

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، وَعُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ، وَعَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانُوا يَقُولُونَ: إِذَا مَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Artinya : “Bahawasanya Umar bin Al-Khattab r.a. dan Uthman bin ‘Affan r.a. dan Aisyah r.a isteri Nabi sollallahu alaihi wasallam adalah merkea itu berkata : Apabila menyentuh oleh tempat khitan akan tempat khitan maka sungguhnya telah wajib oleh mandi hadas.”

Dan beliau meriwayatkan daripada Aisyah r.a. dan Ibnu Umar r.a. berkata keduanya :

إِذَا جَاوَزَ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Artinya : “Apabila melepasi oleh tempat khitan akan tempat khitan maka sungguhnya telah wajiblah mandi hadas.”

Imam Syafie r.a. telah meriwayatkan daripada Aisyah r.a. :

إِذَا الْتَقَى الْخِتَانَانِ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Artinya : “Apabila bertemu dua tempat khitan maka sungguh telah wajiblah oleh mandi hadas.” 

Berkata Imam Al-Mawardi :

فَأَمَّا الْتِقَاءُ الْخِتَانَيْنِ فَمُوجِبٌ لِلْغُسْلِ سَوَاءٌ كَانَ مَعَهُ إِنْزَالٌ أَوْ لَمْ يَكُنْ

Artinya : “Maka adapun bertemu dua khitan itu ia mewajibkan bagi mandi hadas semada ada sertanya keluar mani atau tidak ada.” (Kitab Al-Hawi Al-Kabir)

ARTI BERTEMU TEMPAT KHITAN

Bermula maksud bersentuh dua tempat khitan dan melepasi tempat khitan akan tempat khitan dan bertemu dua tempat khitan pada segala riwayat berkenaan bab ini adalah bersamaan yaitu sindiran cakap dari berlakunya jimak yaitu persetubuhan.

Berkata Imam Al-Muzani :

الْتِقَاءُ الْخِتَانَيْنِ أَنْ يُحَاذِيَ خِتَانُ الرَّجُلِ خِتَانَ الْمَرْأَةِ

Artinya : “Bertemu dua khitan itu artinya bahwa bersetentang oleh tempat khitan lelaki akan tempat khitan perempuan.” (Kitab Al-Hawi Al-Kabir)

Maksudnya apabila hasyafah telah tenggelam di dalam faraj maka itulah yang dikatakan setentang tempat khitan lelaki dengan tempat khitan perempuan dan berlakuklah persetubuhan.

Berkata Imam Ibnu Al-‘Arabi :

وَلَيْسَ الْمُرَادُ حَقِيقَةُ اللَّمْسِ وَلَا حَقِيقَةُ الْمُلَاقَاةِ، وَإِنَّمَا هُوَ مِنْ بَابِ الْمَجَازِ وَالْكِنَايَةِ

Artinya : “Dan bukanlah yang dikehendaki akan hakikat sentuh dan bertemu dan sungguhnya ia adalah termasuk dalam bab majaz dan kinayah yaitu sindiran cakap.”

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

وَلَيْسَ الْمُرَادُ بِالْتِقَاءِ الْخِتَانَيْنِ الْتِصَاقَهُمَا وَضَمَّ أَحَدِهِمَا إِلَى الآْخَرِ، فَإِنَّهُ لَوْ وَضَعَ مَوْضِعَ خِتَانِهِ عَلَى مَوْضِعِ خِتَانِهَا وَلَمْ يُدْخِلْهُ فِي مَدْخَل الذَّكَرِ لَمْ يَجِبِ الْغُسْل

Artinya : “Dan bukanlah dikehendaki dengan bertemu dua khitan itu ialah bersentuh keduanya sahaja dan berkumpul satu sama lain dari kerana sungguhnya kalau meletak seorang lelaki akan tempat khitannya atas tempat khitan perempuan dan tidak masuk ia pada tempat masuk zakar nescaya tidak wajib mandi.”

Maka maksud yang sebenar dari bersentuh dua tempat khitan atau melepasi atau bertemu itu ialah tenggelam hasyafah zakar di dalam faraj.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah lagi :

وَالْتِقَاءُ الْخِتَانَيْنِ كِنَايَةٌ عَنِ الإْيلاَجِ

Artinya : “Bertemu dua khitan itu itu ialah kinayah yakni sindiran cakap dari masuk hasyafah  zakar dalam faraj.”

Berkata Al-Qadhi Abu Bakr :

إذَا غَابَتْ الْحَشَفَةُ فِي الْفَرْجِ فَقَدْ وَقَعَتْ الْمُلَاقَاةُ

Artinya : “Apabila telah tenggelam hasyafah zakar di dalam faraj maka sungguh telah berlaku pertemuan dua tempat khitan.” (Kitab Nailul Authar)

Maka difaham daripada ini jika tidak tenggelam hasyafah di dalam faraj seperti diletakkan sahaja hasyafah di atas faraj atau masuk sedikit sahaja hasyafah di dalam faraj maka tidaklah berlaku hadas besar kerana kedua keadaan tersebut bukan dinamakan persetubuhan.

Berkata Imam Syafie r.a. :

وَلَوْ نَالَ مِنْ امْرَأَتِهِ مَا دُونَ أَنْ يُغَيِّبَهُ فِي فَرْجِهَا وَلَمْ يُنْزِلْ لَمْ يُوجِبْ ذَلِكَ غُسْلًا وَلَا نُوجِبُ الْغُسْلَ

Artinya : “Dan kalau seorang lelaki melakukan ke atas isterinya barang yang selain tenggelam hasyafah ke dalam farajnya dan tidak pula keluar mani maka tidaklah mewajibkan akan mandi atas keduanya.” (Kitab Al-Uum) 

JIMAK TIDAK KELUAR MANI

Oleh itu apabila telah berlaku jimak maka kedua lelaki dan perempuan itu telah berhadas dengan hadas janabah dan keduanya disebut junub dan wajib atas keduanya mandi hadas samada keluar mani atau tidak.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :

إِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ الْغَسْلُ

Artinya : “Apabila seorang itu duduk dicelah cabang perempuan yang empat kemudian bersungguh ia maka sungguh telah wajiblah mandi.” (Hadith riwayat Bukhari)

Dalam hadith ini Nabi sollallahu alaihi wasallam tidak mensyaratkan dengan keluar mani.

Dan lebih jelas lagi pada satu riwayat Imam Muslim :

وَإِن لَمْ يُنْزل 

Artinya : “Dan sekalipun tidak keluar mani.”

Yakni apabila berlaku jimak maka keduanya telah berhadas besar dan wajib atas keduanya mandi dan yaitu dengan ijmak ulamak.

Berkata Imam Nawawi :

وَقَدْ أُجْمِعَ عَلَى وُجُوبِ الْغُسْلِ مَتَى غَابَتْ الْحَشَفَةُ فِي الْفَرْجِ

Artinya : “Dan sungguhnya telah diijmakkan atas wajib mandi apabila telah tenggelam hasyafah di dalam faraj.”

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a. beliau bertanyakan Aisyah r.a. :

الرَّجُلُ يُصِيبُ أَهْلَهُ ثُمَّ يَكْسَلُ وَلَا يُنْزِلُ، فَقَالَتْ: إِذَا جَاوَزَ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ  

Artinya : “Seorang lelaki telah menjimak isterinya kemudian dia berhenti sebelum keluar mani. Maka berkata Aisyah r.a. : Apabila telah melepasi oleh tempat khitan (lelaki) akan tempat khitan (perempuan) maka sungguh telah wajiblah mandi hadas.” (Riwayat Imam Syafie)

JIMAK TANPA RASA LAZAT

Dan demikian lagi wajib mandi atas keduanya sekalipun tidak merasa lazat dengan jimak tersebut atau salah seorangnya sedang tidur.

Berkata Imam Syafie r.a. :

وَإِذَا غَيَّبَ الرَّجُلُ ذَكَرَهُ فِي فَرْجِ امْرَأَةٍ مُتَلَذِّذًا أَوْ غَيْرَ مُتَلَذِّذٍ وَمُتَحَرِّكًا بِهَا أَوْ مُسْتَكْرِهًا لِذَكَرِهِ أَوْ أَدْخَلَتْ هِيَ فَرْجَهُ فِي فَرْجِهَا وَهُوَ يَعْلَمُ أَوْ هُوَ نَائِمٌ لَا يَعْلَمُ أَوَجَبَ عَلَيْهِ وَعَلَيْهَا الْغُسْلَ  

Artinya : “Dan apabila seorang lelaki mengilangkan akan (hasyafah) zakarnya dalam faraj perempuan samada merasa lazat atau tidak dan samada dia yang melakukkannya atau dipaksa bagi zakarnya atau yang perempuan memasukkan zakarnya pada farajnya dan samada lelaki itu tahu atau sedang tidur tidak sedar nescaya mewajibkan atas lelaki itu dan atas perempuan itu mandi hadas.” (Kitab Al-Uum)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

الجنابة بمغيب حَشَفة (رأس الذكر) أو قدرها من مقطوعها في فرج مطيق للجماع، قبلاً أو دبراً، من ذكر أو أنثى، طائع أو مكره، نائم أو يقظان

Artinya : “Bermula janabah itu yaitu melenyapkan akan hasyafah yakni kepala zakar atau kadarnya dari lelaki yang terpotong hasyafah pada faraj perempuan yang mampu bagi jimak samada qubul atau dubur dari lelaki atau perempuan yang sengaja atau dipaksa dan dari yang sedang tidur atau yang sedang jaga.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

KELUAR MANI

Dan sebab yang kedua yang menjadikan seorang itu berhadas dengan hadas janabah ialah keluar mani samada sebab bermimpi atau lainnya.

Berkata Imam Nawawi :

أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى وُجُوبِ الْغُسْلِ بِخُرُوجِ الْمَنِيِّ وَلَا فَرْقَ عِنْدَنَا بَيْنَ خُرُوجِهِ بِجِمَاعٍ أَوْ احْتِلَامٍ أَوْ اسْتِمْنَاءٍ أَوْ نَظَرٍ أَوْ بِغَيْرِ سَبَبٍ سَوَاءٌ خَرَجَ بِشَهْوَةٍ أَوْ غَيْرِهَا وَسَوَاءٌ تَلَذَّذَ بِخُرُوجِهِ أَمْ لَا وَسَوَاءٌ خَرَجَ كَثِيرًا أَوْ يَسِيرًا وَلَوْ بَعْضُ قَطْرَةٍ وَسَوَاءٌ خَرَجَ فِي النَّوْمِ أَوْ الْيَقَظَةِ مِنْ الرَّجُلِ وَالْمَرْأَةِ الْعَاقِلِ وَالْمَجْنُونِ فَكُلُّ ذَلِكَ يُوجِبُ الْغُسْلَ عِنْدَنَا

Artinya : “Telah ijmak olih ulamak atas wajib mandi dengan sebab keluar air mani dan tiada beza disisi kami antara keluarnya dengan sebab jimak atau bermimpi atau bersedap-sedap atau sebab memandang atau dengan tidak ada sebab samada keluar mani itu dengan syahwat atau lainnya dan samada merasa lazat sebab keluarnya atau tidak dan samada keluar banyak atau sedikit walaupun setengah titik sahaja dan samada keluar ketika tidur atau ketika jaga dari lelaki atau perempuan yang beraqal atau yang gila maka sekeliannya itu mewajibkan akan mandi disisi kami.” (Kitab Al-Majmu’)

Jika seorang itu syak adakah telah keluar mani atau belum keluar maka tidak wajib mandi atasnya.

Berkata Imam Syafie r.a. :

وَلَوْ شَكَّ رَجُلٌ أَنْزَلَ أَوْ لَمْ يُنْزِلْ لَمْ يَجِبْ عَلَيْهِ الْغُسْلُ حَتَّى يَسْتَيْقِنَ بِالْإِنْزَالِ 

Artinya : “Jikalau seorang lelaki syak dia telah keluar mani atau belum maka tidak wajib atasnya mandi hadas sehingga dia yakin telah keluarnya.” (Kitab Al-Uum)

KELUAR MANI SEBAB MIMPI

Imam Malik r.a. meriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. beliau berkata bagi Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :

الْمَرْأَةُ تَرَى فِي الْمَنَامِ مِثْلَ مَا يَرَى الرَّجُلُ، أَتَغْتَسِلُ؟ فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَعَمْ فَلْتَغْتَسِلْ ، فَقَالَتْ لَهَا عَائِشَةُ: أُفٍّ لَكِ ‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍ وَهَلْ تَرَى ذَلِكَ الْمَرْأَةُ؟ فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَرِبَتْ يَمِينُكِ وَمِنْ أَيْنَ يَكُونُ الشَّبَهُ؟

Artinya : “Seorang perempuan telah melihat di dalam mimpi akan seumpama barang yang dilihat oleh lelaki adakah perempuan itu kena mandi? Maka berkata baginya oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : Ya dia kena mandi. Berkata bagi Ummu Salamah oleh Aisyah r.a. : Apalah kamu ini adakah perempuan juga melihat air mani? Maka bersabda baginya oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : Semoga kamu selalu beruntung maka bagaimana boleh terjadi mirip (anak dengan ibunya)?

Maksud perempuan melihat barang yang dilihat oleh lelaki itu ialah perempuan bermimpi basah.

Kemudian meriwayatkan perkataan Ummu Salamah r.a. :

جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ، امْرَأَةُ أَبِي طَلْحَةَ الْأَنْصَارِيِّ، إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ‍ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ، هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا هِيَ احْتَلَمَتْ، فَقَالَ: نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ

Artinya : “Telah datang Ummu Sulaim isteri Abi Talhah Al-Ansari r.a. kepada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam lalu berkata : Wahai Rasulullah sungguhnya Allah itu tidak malu daripada kebenaran. Adakah wajib atas orang perempuan itu mandi hadas apabila dia bermimpi? Maka sabdanya : Ya jika dia melihat akan mani.”

Yang dimaksudkan keluar mani sebab mimpi itu ialah apabila seorang itu bermimpi yaitu mimpi bersetubuh kemudian apabila dia terjaga dari tidurnya dilihat ada air mani maka wajiblah atasnya mandi hadas sebab dia telah junub sebab keluar mani daripada dirinya.

Maka yang menjadikannya berhadas dengan hadas janabah itu ialah keluar mani bukannya sebab bermimpi samada keluar mani itu dahulu dari terjaganya atau selepas dari terjaganya.

Dari kerana itulah jika dia bermimpi tetapi apabila dia terjaga dari tidurnya tidak ada berlaku pada dirinya keluar mani maka tidak wajib mandi atasnya.

Dan demikian lagi jika seorang itu belum tidur lalu keluar mani maka wajib atasnya mandi kerana tidak disyaratkan mesti dia tidur dan bermimpi.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin :

سواء كان نزوله بسبب احتلام، أو ملاعبة، أو فكر 

Artinya : “Samada keluar mani itu sebab bermimpi atau bermain-main atau berfikir.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

PEREMPUAN KELUAR MANI

Dan daripada hadith Ummu Salamah r.a. adalah perempuan juga sama seperti lelaki yaitu apabila dia bermimpi kemudian melihat keluar mani maka wajib atasnya mandi.

Berkata Imam As-Sayirazi :

وَأَمَّا خُرُوجُ الْمَنِيِّ فَإِنَّهُ يُوجِبُ الْغُسْلَ عَلَى الرَّجُلِ وَالْمَرْأَةِ فِي النَّوْمِ وَالْيَقَظَةِ

Artinya : “Dan ada pun keluar mani maka sungguhnya ia mewajibkan mandi atas lelaki dan atas perempuan samada dalam tidur atau dalam jaga.” (Kitab Al-Muhazzab)

Pada hadith Ummu Sulaim r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

إِذَا رَأَتْ ذَلِكَ الْمَرْأَةُ فَلْتَغْتَسِل

Artinya : “Apabila perempuan itu bermimpi seperti itu maka hendaklah dia mandi.” (Hadith riwayat Muslim)

Maksudnya apabila seorang perempuan bermimpi jimak dan apabila dia terjaga dia melihat dirinya ada mani maka wajiblah atasnya mandi hadas.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  فِي الْمَرْأَةِ تَرَى فِي مَنَامِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ قَالَ: تَغْتَسِلُ

Artinya : “Telah bersabda oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam tentang perempuan yang melihat pada mimpinya apa yang dilihat oleh lelaki sabdanya : Hendaklah perempuan itu mandi.”

Oleh itu jika perempuan bermimpi kemudian apabila dia terjaga tidak ada pada dirinya keluar mani maka tidak wajib mandi atasnya sebagaimana lelaki.

Telah sabit pada hadith Khaulah binti Hakim r.a. Nabi solallahu alaihi wasallam bersabda :

لَيْسَ عَلَيْهَا غُسْلٌ حَتَّى يَنْزِلَ الْمَاءُ كَمَا أَنَّ الرَّجُلَ لَيْسَ عَلَيْهِ غُسْلٌ حَتَّى يُنْزِلَ

Artinya : “Tidak wajib atas perempuan itu mandi sehingga dia melihat keluarnya mani sebagaimana lelaki juga tidak wajib atasnya mandi sehinggalah berlaku keluar mani.” (Hadith riwayat Ahmad dan An-Nasaie dan Ibnu Majah)

Dan pada riwayat Aisyah r.a. katanya :

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلَا يَذْكُرُ احْتِلَامًا قَالَ يَغْتَسِلُ وَعَنْ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدْ احْتَلَمَ وَلَا يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ لَا غُسْلَ عَلَيْهِ

Artinya : “Telah ditanya akan Rasulullah solallahu alaihi wasallam tentang seorang lelaki yang keluar mani setelah bangun tidur tapi dia tidak ingat bahawa dia telah bermimpi maka sabdanya : Lelaki itu hendaklah mandi. Dan ditanya tentang lelaki yang telah bermimpi tetapi tidak melihat basah maka sabdanya : Tidak ada mandi atasnya.” (Hadith riwayat Abu Daud)

WAJAH ANAK MIRIP IBUNYA

Seorang anak yang dilahirkan oleh pasangan suami isteri akan menyerupai ibu bapanya atau keturunannya samada pada rupanya atau kejadiannya atau warna kulitnya atau sifatnya dan perangainya.

Berkenaan mirip pada mukanya terkadang anak itu lebih banyak mirip kepada bapanya dan terkadang kepada ibunya dan ada juga anak yang sebahagian dari kejadiannya menyerupai pihak bapa dan sebahagian lagi menyerupai pihak ibu.

Kerana itu pada hadith di atas Nabi sollallahu alaihi wasalam berkata kepada Ummu Salamah dan Aisyah r.a. :

وَمِنْ أَيْنَ يَكُونُ الشَّبَهُ؟

Artinya : “Dan darimana jadi anak itu mirip ibunya?

Maksudnya jika perempuan tidak ada air mani maka bagimana terjadi anak yang dilahirkan itu ada kalanya menyerupai pihak ibunya.

Pada satu riwayat daripada Ummu Salamah r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :

مَاءُ الرَّجُلِ أَبْيَضُ غَلِيظٌ، وَمَاءُ الْمَرْأَةِ أَصْفَرُ رَقِيقٌ، فَمِنْ أَيِّهِمَا سَبَقَ أَوْ عَلَا يَكُونُ الشَّبَهُ

Artinya : “Air lelaki itu putih kental dan air perempuan itu kekuningan cair maka mana satu dari keduanya yang mendahului atau berarada di atas nescaya jadilah dengannya kemiripan.” (Hadith riwayat Muslim)

Dan berlaku juga kemiripan anak itu dengan sekelian bapa saudaranya dan sekelian ibu saudaranya.

Berkata Imam Az-Zarqani :

فَدَلَّ مَجْمُوعُ الْحَدِيثَيْنِ عَلَى أَنَّهُ إِذَا سَبَقَ مَاءُ الرَّجُلِ جَاءَ الْوَلَدُ ذَكَرًا وَأَشْبَهَ أَعْمَامَهُ، وَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الْمَرْأَةِ جَاءَ أُنْثَى وَأَشْبَهَ خَالَهُ، وَالْمُشَاهَدَةُ تَدْفَعُهُ لِأَنَّهُ قَدْ يَكُونُ الْوَلَدُ ذَكَرًا وَيُشْبِهُ أَخْوَالَهُ وَقَدْ يَكُونُ أُنْثَى وَيُشْبِهُ أَعْمَامَهُ

Artinya : “Maka menunjuklan oleh perhimpunan kedua hadith ini atas bahawasanya apabila terdahulu air lelaki maka datanglah anak itu lelaki dan menyerupai sebelah bapa-bapa saudaranya dan apabila terhulu air perempuan maka datanglah anak itu perempuan dan menyerupai ibu-ibu saudaranya. Dan tetapi berlaku juga kadang-kadang anak lelaki itu ada mirip sebelah ibu saudaranya dan anak perempuan itu ada mirip sebelah bapa saudaranya.” (Kitab Syarah Muwattha’ Malik)

Pada satu riwayat Bukhari bersabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam kepada Ummu Sulaim r.a. :

فَبِمَ يُشْبِهُهَا وَلَدُهَا

Artinya : “Maka dengan apa anaknya menyerupai ibunya?”

Maksudnya jika bukan kerana bercampur air mani ibunya maka dengan sebab apa lagi yang menjadikan anak itu menyerupai ibunya? Sudah tentulah kerana mani ibunya.

wallahua’lam 

ustaz azhar idrus

Comments